fbpx
Tiga termasuk dua awak-awak warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia.

Padah gaji PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Tindakan seorang tekong warga tempatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) memakan diri apabila dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sekitar Pulau Ketam awal pagi tadi.

Tekong itu bersama dua awak-awak warga Myanmar berusia 18 hingga 40 tahun dikesan menaiki bot nelayan Kelas B, kira-kira 0.4 batu nautika timur pulau berkenaan pada pukul 1.29 pagi.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menahan bot suspek ketika menjalankan Op Benteng Laut di perairan negeri ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian mendapati tekong warga tempatan itu menggaji secara haram dua awak-awak warga Myanmar.

“Dua lelaki asing itu disyaki bekerja atas bot berkenaan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohammad Rosli, semua suspek dan bot dibawa ke Ibu Pejabat Maritim negeri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggaji PATI,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR