Rang Undang-Undang e-dagang yang bakal diperkenalkan diharap mampu menjaga hak pengguna tanpa menjejaskan peluang peniaga tempatan.

RUU e-dagang perlu lindungi peniaga tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akan menyegerakan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur dan kondusif, sekali gus memanfaatkan usahawan tempatan dan pengguna.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai keseluruhan e-dagang di Malaysia mencecah RM319.7 bilion pada suku pertama 2026, peningkatan 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Ini bermakna, untuk setahun angkanya dijangka melebihi RM1 trilion.

Namun, apakah angka sebesar itu benar-benar memanfaatkan peniaga tempatan? Dalam sektor peruncitan, kita memang mengenali Shopee dan Lazada tetapi kini ada macam-macam platform e-dagang dari China.

Malah, platform itu sudah ada edisi bahasa Melayu. Ia tentunya menguntungkan pengguna tetapi apa nasib peniaga dan perniagaan tempatan?

Platform dari China memiliki kelebihan rantaian bekalan yang sangat cekap dan mereka sangat agresif melaksanakan strategi perang harga yang sukar ditandingi peniaga kita.

Walaupun kerajaan mengenakan Cukai Barangan Bernilai Rendah sebanyak 10 peratus bagi produk import di bawah RM500 bagi mengurangkan jurang harga tetapi kesannya tetap dirasai oleh peniaga tempatan.

Apa peniaga tempatan boleh lakukan? Dari segi kos pengeluaran memang sukar untuk bersaing. Kelebihan kita hanya dari segi penghantaran yang cepat, jaminan tempatan dan khidmat selepas jualan.

Justeru, Rang Undang-Undang e-dagang yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan diharap turut mengambil kira persaingan asing ini supaya bukan sahaja pengguna dapat berurus niaga dengan selamat tetapi peniaga tempatan juga tidak terjejas dan ada ruang untuk bersaing.

Pengalaman dan pendekatan dari beberapa negara lain dalam usaha ‘menyekat tsunami’ e-dagang China wajar dilihat kesesuaiannya untuk dilaksanakan di negara ini.

Thailand yang berdepan dengan penutupan ribuan kilang akibat kebanjiran produk China sedang merangka undang-undang untuk mewajibkan platform e-dagang asing mendaftar sebagai entiti tempatan.

Indonesia menetapkan barangan luar yang dijual terus melalui e-dagang mesti berharga sekurang-kurangnya AS$100.

Kesatuan Eropah pula menarik balik pelepasan cukai ke atas bungkusan berharga murah, manakala Amerika Syarikat menuntut data logistik yang sangat terperinci bagi setiap parcel kecil bagi melambatkan proses pelepasan di lapangan terbang, sekali gus menaikkan kos logistik.

Undang-undang baharu yang bakal diperkenalkan nanti perlu memasukkan juga elemen-elemen untuk melindungi industri dan peniaga tempatan.

Kerajaan juga perlu sentiasa peka terhadap kemungkinan platform asing memanipulasi kelompongan undang-undang untuk memastikan produk mereka boleh dipasarkan. Setiap kelompongan perlu ditutup dengan segera.

Memang sukar untuk menghalang kemasukan barangan China yang murah kerana kita mengamalkan ekonomi terbuka tetapi kerajaan boleh membantu melindungi peniaga dan pengguna tempatan menerusi kuat kuasa undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN