Kyrgyzstan merupakan salah sebuah negara terletak di rantau Asia Tengah yang menyimpan seribu satu keindahan alam semula jadi yang menakjubkan bak sebuah lukisan yang sangat memukau mata memandang.
Malah, keindahan panorama gunung-ganang, lembah hijau dan tasik kebiruannya menjadikan negara ini sebagai salah satu destinasi terbaik yang wajib dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Ketika kaki melangkah ke bumi Kyrgyzstan hampir empat tahun lalu, ia sebuah destinasi asing yang jarang mendapat perhatian pelancong Malaysia.
Namun kini, segalanya berubah. Kyrgyzstan mula menjadi sebutan dan buruan ramai pengembara tempatan sebaik sahaja keindahan landskap yang memukau tular dan mula disedari dunia.
Untuk memasuk ke negara ini, rakyat Malaysia boleh memasuki Kyrgyzstan tanpa visa sehingga 30 hari bagi tujuan pelancongan. Pelbagai syarikat penerbangan menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bishkek iaitu ibu negara Kyrgyzstan dengan kadar harga yang berpatutan seperti Turkish Airline dan Emirates. Bagi urusan pertukaran wang, pelancong disarankan membawa mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) untuk ditukarkan kepada mata wang tempatan, Som (KGS).
Waktu terbaik untuk melawat Kyrgyzstan adalah pada musim panas apabila puncak-puncak gunung dan lembah pergunungannya diselimuti warna hijau segar yang terbentang luas seluas mata memandang.
Memandangkan kedudukannya di altitud tinggi, cuaca di kawasan pergunungan Kyrgyzstan sukar diramal. Walaupun berkunjung pada musim panas, suhu boleh menjadi sangat sejuk hingga mencecah paras bersalji di sesetengah laluan pergunungan. Oleh itu, persediaan membawa pakaian musim sejuk yang mencukupi amat penting.

Mencari makanan halal di Kyrgyzstan amat mudah memandangkan majoriti penduduknya beragama Islam. Pelbagai hidangan tempatan yang lazat boleh dicuba termasuk menu unik berasaskan daging kuda.
Pengangkutan awam tidak begitu digalakkan di Kyrgyzstan kerana liputannya yang terhad. Perjalanan yang memakan masa melebihi tujuh jam di laluan mencabar menjadikan sewaan kenderaan persendirian berserta pemandu tempatan sebagai langkah terbaik untuk meneroka ceruk-ceruk keindahan negara ini.
Kebanyakan aktiviti pelancongan di Kyrgyzstan berkonsepkan rekreasi luar (outdoor).
Antara kenangan paling manis ialah perjalanan menunggang kuda selama tiga jam menuju ke Yeltsin Peak Valley. Walaupun menguji ketahanan fizikal terutama bersama anak-anak, rasa penat itu terus hilang sebaik sahaja melihat pemandangan pergunungan yang indah di hadapan kami.

di kawasan Altyn Arashan.
Setiap lokasi ada keunikannya yang tersendiri dengan bentuk muka bumi dan pemandangan yang berbeza-beza. Contohnya di Altyn Arashan, pengunjung dihiasi pemandangan lembah pergunungan alpine yang dikelilingi hutan pokok pain menghijau serta latar belakang puncak gunung bersalji.
Destinasi lain yang turut memukau pandangan kami termasuklah keunikan tebing batu merah di Jety Oguz, keindahan Lembah Kok Jayik dan Kok Kiya, keajaiban bentuk muka bumi di Fairytale Canyon serta Ak Sai Canyon, hinggalah kepada ketenangan jurang Eki Naryn Gorge dan keagungan Tasik Son Kol.
Dari sudut keselamatan, Kyrgyzstan merupakan sebuah negara yang selamat untuk dilawati. Isu jenayah seperti penyeluk saku jarang berlaku dan penduduk tempatan terkenal dengan sifat peramah serta mesra pelancong.
Saya juga sempat berbual dengan seorang pelancong dari United Kingdom yang memberitahu dia datang ke Kyrgyzstan hampir setiap tahun kerana menyukai keindahan dan keselamatan negara itu.
Antara pengalaman paling berharga ialah apabila kami bermalam di yurt, iaitu khemah tradisional warisan masyarakat nomad. Sepanjang kembara ini, yurt menjadi tempat penginapan utama kami yang menawarkan keunikan suasana tidur di tengah-tengah keheningan alam sambil dikelilingi padang rumput hijau dan latar gunung-ganang yang tersergam indah.
Kebanyakan penduduk tempatan di sini bertutur dalam bahasa Kyrgyz dan Rusia, manakala penguasaan bahasa Inggeris agak terhad. Halangan bahasa ini kerap mencetuskan pelbagai peristiwa mencuit hati terutama ketika menawar harga di pasar dan memilih menu di restoran. Mujur pemandu kami, fasih berbahasa Inggeris dan sentiasa menjadi jurubicara penyelamat. Namun, keunikan berkomunikasi menerusi bahasa tubuh dan senyuman inilah yang sebenarnya menambah keseronokan.
Biarpun pengembaraan ini sudah agak lama berlalu, kenangan di bumi Asia Tengah ini tetap segar tersemat dalam ingatan. Banyak pengalaman berharga yang dapat ditimba sepanjang perjalanan terutama dalam menyelami keunikan budaya, kepelbagaian cara hidup serta kearifan tempatan masyarakatnya.














