Tangkap layar video tersebut.

[VIDEO] Kena ada RM20,000 kalau meninggal di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelancong Malaysia yang meninggal dunia di United Kingdom (UK) mungkin perlu menyediakan kos sehingga kira-kira RM20,000 sekiranya jenazah dikebumikan di negara berkenaan.

Perkara itu dikongsikan seorang rakyat Malaysia menggunakan akaun Faceboom @Anok Kelate di Ireland, yang menerangkan secara umum kos pengurusan jenazah Muslim di UK.

Menurutnya, kos pengebumian di UK tidak percuma kerana keluarga atau pihak yang menguruskan jenazah perlu membayar tanah perkuburan serta beberapa perkhidmatan berkaitan.

“Okey sebelum tu. Biar kita cerita secara umum dulu tentang kematian di UK. Pertama sekali orang sini dia akan pilih sama ada nak tanah (tanam) ataupun dia nak bakar. Tapi oleh kerana kita ni orang Islam, jadi kita tak cerita lah pasal bakar tu.

“Untuk tanah kubur sahaja, harganya lebih kurang £1,400 (RM7,700), manakala kos menggali kubur pula sekitar £1,200 (RM6,600),” katanya dalan perkongsian tersebut.

Pengguna itu berkata, kos lain turut melibatkan pengurusan mandi dan kafan jenazah yang dianggarkan sekitar £800 (RM4,400), selain kira-kira £300 (RM1,650) bagi kos pengangkutan.

“Jadi jumlah keseluruhan kalau meninggal di sini lebih kurang £3,800 (RM21,000),” katanya.

Jelasnya, keadaan menjadi lebih sukar sekiranya keluarga si mati tidak mempunyai wang mencukupi untuk menguruskan pengebumian kerana kos berkenaan lazimnya perlu dikumpulkan terlebih dahulu.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang dikongsikan komuniti rakyat Malaysia di UK, kutipan wang daripada orang ramai akan dilakukan bagi menampung kos pengurusan jenazah dan pengebumian.

“Contoh tiba-tiba ada kematian, lepas itu soal duit memang orang (rakyat Malaysia) akan kutip.

“Kalau duit belum cukup, jenazah itu boleh mengambil masa untuk dikebumikan. Ada yang menunggu selama sebulan atau dua bulan sehingga wang mencukupi,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa bagi keluarga yang mahu membawa pulang jenazah ke Malaysia, terdapat prosedur tertentu perlu dipatuhi sebelum jenazah boleh dihantar menggunakan penerbangan.

“Bukan boleh ambil jenazah dan terus bawa balik. Ada prosedur yang perlu dilakukan sebelum jenazah boleh dibawa menaiki kapal terbang,” katanya.

Tambahnya, kos penghantaran pulang jenazah ke Malaysia juga boleh mencecah beberapa ribu pound dan menjadikan jumlah keseluruhan lebih tinggi berbanding pengebumian di UK.

Sehubungan itu, dia menasihatkan rakyat Malaysia yang mahu melancong ke luar negara supaya membuat persediaan sewajarnya, termasuk mendapatkan perlindungan insurans perjalanan atau takaful yang meliputi kematian dan penghantaran pulang jenazah.

“Kalau kita nak pergi melancong ke UK atau mana-mana negara, ambillah insurans nyawa, takaful, insurans kematian. Kita patut tahu perkara seperti ini apabila berlaku kematian di luar negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN