PENDUDUK Bukit Malut menunjukkan kad pengenalan mereka ketika ditemui di perkampungan tersebut hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

‘Jangan takut masuk Bukit Malut, kami sama seperti penduduk kampung lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – “Kami sudah lali dengan persepsi negatif terhadap Bukit Malut. Pelbagai tuduhan dibuat sehinggakan kalau orang Rohingya mendarat di Langkawi, tempat kami menjadi sasaran untuk dipersalahkan.”

Demikian kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah bagi menepis tanggapan yang dibuat sebilangan masyarakat terhadap mereka sejak sekian lama.

Dia juga menyangkal dakwaan kononnya terdapat 15,000 etnik Rohingya di kawasan itu selain menjadi lokasi pendaratan komuniti dari Myanmar tersebut.

“Kalau ada berita mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin, Bukit Malut jadi sasaran sedangkan kawasan ini bukan lokasi yang mudah untuk pendaratan.

“Ini kerana pejabat penguat kuasa seperti Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia terletak dekat Bukit Malut. Jika ada pergerakan mencurigakan, sudah tentu ia akan dikesan,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Fadzli berkata, dakwaan orang ramai tidak dibenarkan memasuki Bukit Malut atau kawasan itu tidak selamat juga adalah tidak benar.

“Tiada sebarang halangan untuk mausk Bukit Malut, malah tahap keselamatannya sentiasa dipantau pihak berkuasa dan persepsi negatif itu hanya terbentuk akibat maklumat tidak tepat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun persepsi itu menyebabkan segelintir penduduk berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana didakwa ada majikan yang enggan mengambil pekerja dari Bukit Malut, keadaan kini semakin bertambah baik.

Tambahnya, kira-kira 85 peratus penduduk di Bukit Malut bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk peniaga, pengusaha kereta sewa, penjawat awam, anggota badan beruniform dan lepasan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, penduduk Bukit Malut, Hasanah Zakaria, 42, berkata, dia pernah membaca komen negatif mengenai Bukit Malut di media sosial, namun suaminya meminta supaya dia mengendahkannya.

“Mereka (orang luar) kena masuk dahulu dan lihat sendiri kehidupan di Bukit Malut. Kami hidup seperti penduduk kampung lain, tidak ada jenayah yang membimbangkan.

“Rumah saya tidak pernah dipecah masuk. Tidak perlu takut nak jalan di Bukit Malut. Saya pernah dengar orang kata kalau masuk Bukit Malut, tak dapat keluar. Semua itu tidak benar (tanggapan),” katanya yang menetap di situ selama lebih 20 tahun.

Katanya, anak lelakinya belajar di sebuah sekolah berasrama di Langkawi dan mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik.

“Saya tidak menafikan anak kurang selesa dengan tohmahan terhadap Bukit Malut, namun saya meminta dia supaya mengabai kata-kata itu dan fokus kepada pelajaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN