IPOH – Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penghuni rumah jagaan di Tanjung Rambutan di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, anggota Balai Polis Tanjung Rambutan menerima maklumat pada pukul 2 petang dari Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan berhubung kematian lelaki berusia 54 tahun.
“Sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa.Â
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.
Mohd. Alwi berkata, lima individu terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni rumah jagaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan peranan setiap individu yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















