PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Sungai Bakap, Pulau Pinang dilaporkan sesak teruk selepas sebuah lori terbalik di Kilometer (KM) 170.9 arah utara dari Bandar Baharu ke Jawi, pagi ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kemas kini pada pukul 7.13 pagi memaklumkan, kemalangan tersebut menyebabkan semua lorong di lokasi kejadian terhalang sehingga aliran trafik terhenti sepenuhnya.
“Susulan kemalangan di KM 70.9 arah utara dari Bandar Baharu ke Jawi. Semua lorong arah utara terhalang, trafik terhenti. Rancang perjalanan anda. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.
Sementara itu, siaran langsung seorang pengguna TikTok di lokasi kejadian memaparkan kesesakan teruk dengan deretan kenderaan termasuk lori, bas dan kereta tidak bergerak disebabkan laluan yang terhalang.
Setakat ini, belum ada maklumat rasmi mengenai punca kemalangan termasuk sama ada insiden itu mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. – KOSMO! ONLINE
















