fbpx
Kabel telekomunikasi yang ditinggalkan di MRR2, awal pagi tadi. GAMBAR MEDIA SOSIAL

Lima penunggang motosikal cedera langgar kabel di MRR2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Lima penunggang motosikal cedera selepas terlanggar kabel telekomunikasi yang ditinggalkan di atas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Kilometer 21.5 dari Hulu Kelang menghala ke Ampang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan lima buah motosikal itu dipercayai berpunca daripada kabel telekomunikasi berukuran kira-kira empat sentimeter dan sepanjang lebih kurang 35 meter yang ditinggalkan di atas jalan.

“Insiden itu menyebabkan kesemua penunggang motosikal terbabit terlibat dalam kemalangan selepas melanggar kabel berkenaan.

“Penunggang motosikal hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427, Seksyen 431A, Seksyen 283 dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian itu tular di aplikasi Threads selepas seorang pengguna memuat naik hantaran mendakwa kabel telekomunikasi yang ditinggalkan di atas lebuh raya menjadi punca kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN