fbpx
Suee Lim pada sidang DUN Selangor. Gambar fail

DUN Selangor: 72 kilang diroboh ceroboh tanah kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebanyak 72 kilang dirobohkan sepanjang tahun lalu selepas didapati menceroboh tanah kerajaan sekitar kawasan daerah ini dan Klang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, berdasarkan pecahan membabitkan 53 kilang yang terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Daerah Tanah Petaling.

Menurutnya, selebihnya 19 lagi kilang dirobohkan menerusi operasi khas dibawah kendalian Majlis Bandaraya Diraja Klang (MDBK) dan PDT Klang.

“Tindakan ini dilaksanakan selepas proses notis, semakan status tanah dan penyelarasan antara agensi berkaitan diselesaikan. Operasi turut mengambil kira aspek keselamatan, pemindahan aset, kawalan lalu lintas serta pengurusan sisa hasil perobohan.

“Ini juga merupakan sebahagian proses penguatkuasaan berperingkat terhadap penggunaan tanah yang tidak mematuhi syarat nyata, pencerobohan tanah kerajaan atau pengoperasian kilang tanpa kebenaran (KTK),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, R. Rajiv (PH – Bukit Gasing) ingin mengetahui status KTK dan pembangunan tanah tidak terancang.

Mengulas Ops Rata bagi perobohan KTK, Suee Lim mengakui operasi itu memberi impak kepada pemilik premis, pengusaha kecil dan pekerja, khususnya membabitkan sumber pendapatan.

Namun katanya, kesan itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri turut menanggung kerugian akibat penggunaan tanah kerajaan secara haram.

“Sepanjang tempoh tanah kerajaan digunakan secara tidak sah, kerajaan negeri berdepan ketirisan hasil dalam bentuk premium tanah, cukai tanah, fi pembangunan, lesen dan bayaran berkaitan yang sepatutnya dipungut.

“KTK juga menimbulkan risiko keselamatan struktur dan kebakaran, pencemaran alam sekitar, kesesakan lalu lintas, gangguan kawasan perumahan, penggunaan utiliti tidak teratur dan pembangunan tak selaras perancangan pihak berkuasa tempatan,”katanya.

Tambah Suee Lim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ops Rata membuka ruang kepada penyusunan semula kawasan terlibat supaya pembangunan dapat dilaksanakan mengikut kesesuaian guna tanah, keperluan infrastruktur, akses jalan, keselamatan, alam sekitar dan potensi ekonomi kawasan.

“Perancangan semula PBT membolehkan tanah diguna untuk pembangunan lebih berdaya maju sekaligus mewujudkan agihan sosio-ekonomi lebih menyeluruh melalui peluang pekerjaan formal, peningkatan hasil kerajaan, penyediaan premis teratur dan pembangunan industri mematuhi undang-undang,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN