fbpx
Allahyarham Muhammad Bakhtiar disifatkan sebagai seorang pelajar yang baik dan memiliki akhlak terpuji. - Foto Facebook NOR SHAZWANI SHAMSHUDIN

‘Saya menangis baca komen tentang arwah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pensyarah TVET Mara Johor Bahru mempertahankan pelajarnya yang meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan pulang daripada Himpunan RXZ Members 8.0 selepas mendakwa terkesan dengan kecaman terhadap Allahyarham.

Nor Shazwani Shamshudin menerusi hantaran di Facebook semalam berkata, beliau berasa sedih dengan kata-kata kesat dan fitnah yang dilempar kepada pelajar tersebut.

Katanya, walaupun bukan penyokong program permotoran termasuk Himpunan RXZ Members, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina individu yang telah meninggal dunia.

“Saya bukan orang yang menyokong event (acara) permotoran seperti ini. Tetapi saya juga tidak menyatakan bantahan dengan makian atau kecaman.

“Bagaimanapun, apabila membaca komen netizen terhadap Allahyarham Bakhtiar, saya menangis,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, maut selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang terbabit dalam nahas di Kilometer 354, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, petang semalam.

Ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada Himpunan RXZ Members 8.0 di negeri tersebut.

Bercerita lanjut, Nor Shazwani berkata, Allahyarham Muhammad Bakhtiar merupakan antara pelajar terbaik yang pernah dikenalinya sepanjang lebih sedekad bergelar pendidik.

Tambahnya, pemuda itu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki akhlak yang tinggi dan sentiasa menjaga hubungan baik dengan pensyarah serta rakan-rakan. Allahyarham juga digelar ‘geng surau’.

“Sejujurnya berbelas-belas tahun saya mengajar, awak antara pelajar paling baik yang saya pernah kenal,” luahnya.

Beliau difahamkan Allahyarham gemar mengembara dan mencari pengalaman baharu, namun menyifatkan pemergian pelajarnya itu sebagai ketentuan Ilahi.

“Berdasarkan pembacaan, Allahyarham terbabas bersendirian. Mungkin penat, mengantuk atau jalan licin. Siapa kita hendak melawan takdir dan kehendak Allah. Suratan menetapkan nyawa Allahyarham diambil di atas lebuh raya,” katanya.

Beliau merayu orang ramai supaya menghentikan kecaman terhadap mangsa, sebaliknya mendoakan agar roh pemuda itu ditempatkan dalam kalangan hamba yang dikasihi serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.

“Bakhtiar, saya saksi kemuliaan sifat dan sikap awak. Bagaimana awak memuliakan kami para pensyarah, semoga roh awak juga dimuliakan oleh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Senyuman yang tidak lekang dari bibir awak, pasti menjadi kenangan kepada kami,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas membabitkan Muhammad Bakhtiar kira-kira pukul 3 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terbabas sebelum tercampak ke atas jalan. Pemuda itu disahkan meninggal dunia di lokasi.

Mayatnya dibawa ke Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN