fbpx
Mohd. Yusoff (kiri) pada sidang akhbar di JPN Kelantan, Tunjong dekat Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Lokap di Kelantan masih mampu tampung tangkapan penagih setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kapasiti lokap bagi 56 buah balai polis di Kelantan cukup untuk menampung tangkapan seorang penagih dadah setiap hari yang bermula 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, buat masa ini, tiada isu berbangkit mengenai kepadatan lokap selepas arahan tersebut dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sehingga pertengahan Oktober depan.

“Setakat ini, tiada isu mengenai dakwaan lokap penuh dan perkara itu tidak timbul sebarang masalah. Kita sudah membuat pelan strategik dan bersasar iaitu ketua balai tangkap penagih di kawasannya manakala Ketua Bahagian Narkotik Daerah dan Ketua Jabatan Narkotik Kontinjen menyasarkan pengedar termasuk tokan besar,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, meskipun kes dadah di Kelantan mencatatkan penurunan, langkah tangkapan seorang penagih setiap hari tetap perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, setiap ketua balai polis di negeri ini diwajibkan menangkap seorang penagih dadah setiap hari selama tiga bulan bermula 15 Julai lalu dan bakal berdepan tindakan sekiranya gagal berbuat demikian.

Mohd. Yusoff berkata, ketetapan itu melibatkan 56 ketua polis balai seluruh negeri ini kerana mereka mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat sekali gus memudahkan proses tangkapan.

Katanya, misi itu akan berakhir Oktober ini sebelum semakan mengenai keberkesanan kaedah tersebut dikaji semula.

“Kita mewajibkan ketua balai tangkap seorang penagih dadah setiap hari. Di peringkat ketua polis daerah, fokus kepada tangkapan pengedar dadah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (kontinjen) pula menangkap tokan besar atau sindiket,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN