PETALING JAYA – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dihukum penjara lima minggu oleh Mahkamah Sesyen Papar selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, Hakim Amir Shah Amir Hassan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Ahli Parlimen Semporna itu di Mahkamah Tinggi.
Amir Shah dalam penghakimannya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.
Peruntukan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu atau denda maksimum RM300 jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.
Terdahulu, Shafie ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan pada September tahun lalu dilaporkan menyifatkan kematian Zara sebagai ‘pembunuhan’ selain mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes berkenaan.
Kenyataan itu dibuat ketika prosiding inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir Shah. -KOSMO! ONLINE














