fbpx
THEVENDHIRAN (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membunuh anak kandung berusia 18 bulan dan memiliki bahan lucah, tiga tahun lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI

Bapa didakwa bunuh anak kandung 18 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang bapa yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya yang baru berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, G. Thevendhiran, 40, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh anak lelakinya di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya di sini antara pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan apabila mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki gambar dan video lucah ketika berada di kawasan parkir kondominium yang sama pada pukul 1 petang, 18 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani tambahan hukuman penjara selama tiga bulan.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN