fbpx
Fattah memasang impian untuk membina masjid sendiri yang dinamakan atas nama anaknya, Masjid Jarir Umar Al-Fattah.

‘Doakan cukup duit, nak bina masjid nama Jarir Umar Al-Fattah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Memasing impian murni, pelakon Fattah Amin berkongsi hasrat mahu membina sebuah surau atau masjid sebagai amal jariah yang dapat memberi manfaat berpanjangan buat dirinya dan keluarga.

Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, berkata, keinginan tersebut menjadi keutamaan berbanding perancangan lain yang pernah disimpan sebelum ini seperti memiliki premis kedai serta pusat beli-belah.

“Memang kita ada impian tapi sebelum ada kedai atau pusat beli belah, saya nak ada masjid dulu. Itu saham akhirat,” katanya dalam sesi siaran langsung di platform TikTok.

Dalam perkongsian sama, bapa kepada dua anak itu mengakui kagum dengan mereka yang diberikan rezeki membina rumah Allah berikutan pahala berterusan selagi digunakan orang lain.

“Ya, fasal itu kita ada dengar orang bina surau, ada masjid. Bila ada masjid ini kita rasa macam, seronoknya.

“Sebab kalau dia meninggal dunia, selagi orang guna sebab dia infakkan masjid itu, pahala dia terus berjalan.

“Baik saya niat nak ada masjid dengan surau sendiri. Daripada saya niat nak ada mall (pusat beli-belah) sendiri — mall itu kedua atau ketiga,” ujarnya.

Kata suami kepada pelakon juga penyanyi Amira Othman itu lagi, andai impian dimakbulkan, masjid berkenaan akan dinamakan mengikut nama anak keduanya, Muhammad Jarir Umar.

“Doakan cukup duit, kita nak buat masjid atau surau. Kita nak namakan Masjid Jarir Umar Al-Fattah,” kongsinya.

Hantaran video berkenaan meraih respons ramai yang bukan hanya mendoakan hasrat tersebut dimakbulkan Allah, bahkan ingin sama-sama menyumbang.

“Masjid Jarir Umar Al-Fattah itu rasanya nak bina di mana? Kami pun boleh kongsi berwakaf,” tulis seorang netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN