fbpx
LITAR Antarabangsa Sepang memiliki banyak keistimewaan untuk menjadikan persaingan F1 lebih mencabar selepas dipilih menggantikan GP Bahrain. - AFP

Sepang litar sempurna hangatkan saingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS hampir sedekad menghilang, deruman jentera empat roda paling sofistikated di atas muka bumi kembali memeriahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang kembali dipilih untuk menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1).

Secara realiti, Malaysia bukanlah kembali menganjurkan perlumbaan berkenaan selepas edisi terakhir berlangsung pada 2017, sebaliknya Litar Sepang dipilih menjadi pengganti kepada Litar Antarabangsa Sakhir apabila GP Bahrain tidak dapat dianjurkan ekoran isu keselamatan di Asia Barat.

Mengimbau sedikit kenangan, SIC dibina oleh arkitek litar F1 yang paling terkenal dari Jerman, Herman Tilke yang turut membina banyak lagi litar lain seperti Litar Sakhir, Shanghai, Istanbul Park, Yas Marina dan banyak lagi.

Bagaimanapun, para pemerhati, pelumba dan wartawan berpendapat bahawa litar sepanjang 5.543 kilometer di Sepang adalah sentuhan terbaik yang pernah dihasilkan oleh beliau hasil gabungan laluan lurus berkelajuan tinggi dengan rangkaian selekoh berbentuk S , sekali gus menguji kecekapan aerodinamik jentera serta kemahiran pemandu.

Di Sepang, setiap pasukan perlu menilai banyak aspek sebelum membayangkan kemenangan apabila ia dianggap litar yang cukup teknikal terutama dalam strategi penggunaan tayar sama ada memulakan perlumbaan dengan tayar kompaun lembut bagi memperoleh kelajuan yang baik pada peringkat awal, atau bertahan dengan tayar kompaun keras.

Hanya di litar berkenaan juga anda akan menemui dua laluan lurus berkelajuan penuh yang dipisahkan oleh satu selekoh tajam yang menjadi ikonik bagi litar F1 dan tidak boleh ditemui pada mana-mana litar lain.

Kedua-duanya merupakan zon DRS (Drag Reduction System) yang bersambung membolehkan para pemandu memaksimumkan kelajuan jentera serta mewujudkan peluang memotong yang cukup besar menyebabkan pemandu yang berada di hadapan sentiasa dalam ‘ancaman’.

Ketika regulasi baharu F1 ketika ini yang hampir separuh unit kuasa menggunakan kuasa bateri, laluan lurus berkenaan pastinya menjadi cabaran buat pelumba yang memerlukan perancangan perlumbaan yang tepat untuk memastikan jentera memiliki kuasa memecut dan mengelak gelinciran angin (slipstream) mampu memberi kelebihan kepada pesaing di belakang.

Selain itu, salah satu rungutan terbesar dalam perlumbaan moden adalah betapa sukarnya untuk memotong di litar-litar yang sempit seperti Monaco atau Singapura, namun Sepang menyelesaikan masalah ini dengan sangat baik.

Litar ini mempunyai lebar antara 16 hingga 22 meter di beberapa sektor utama, sekali gus memberikan pemandu pelbagai pilihan garisan perlumbaan (raceline) ketika memasuki selekoh.

Bagaimanapun, salah satu faktor yang menjadi cabaran berlumba di Litar Sepang adalah cuaca yang tidak menentu dan menguji kemampuan pemandu apabila perlumbaan boleh bermula dalam keadaan panas dan lembap yang melampau, sebelum bertukar kepada ribut petir dan hujan lebat pada separuh lagi perlumbaan.

Perlumbaan di Litar Sepang menuntut fokus dan tahap kecergasan maksimum pelumba apabila cuaca panas menyaksikan suhu trek mampu mencecah 60 darjah Celcius, menyebabkan pelumba boleh kehilangan tiga atau empat kilogram berat badan akibat kehilangan cecair.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN