SEREMBAN – Pengundi muda yakin Pakatan Harapan (PH) dapat mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat berdasarkan prestasi pembangunan pesat di kawasan tersebut yang kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Muhammad Nur Iqbal Rudi, 22, berkata, sebagai pengundi muda dia melihat Sikamat berubah hampir 360 darjah sejak ditadbir oleh Datuk Seri Aminuddin Harun pada 2018 hingga 2026.
“Perubahan besar dilakukan Tok Min (Aminuddin) adalah antaranya semakin banyak perumahan baharu dibina dengan harga mampu milik.
“Selain itu, pelbagai kemudahan termasuk pasar raya besar, kedai serbaneka dan kedai kopi jenama terkenal membuka rangkaian di sini yang memudahkan akses penduduk setempat tanpa perlu keluar dari Sikamat,” katanya.
Iqbal yang merupakan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut berharap, calon yang diberi mandat oleh rakyat dapat menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara percuma di Sikamat untuk kemudahan mahasiswa.
“Mahasiswa dan pelajar sekolah boleh melakukan tugasan dengan mudah di pusat ICT yang menyediakan Wi-Fi atau rangkaian internet yang baik tanpa perlu menanggung sebarang kos,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Nur Iqbal berkata, pengundi muda termasuk yang merantau dan sedang melanjutkan pelajaran di tempat lain pastinya akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini terutama sekiranya dipertimbangkan bantuan dari segi kos pengangkutan oleh pemimpin.














