PORT DICKSON – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mahu potensi Linggi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan baharu sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat tempatan terutama golongan nelayan.
Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, pembangunan pelancongan di Sungai Linggi akan diberikan fokus sekiranya beliau diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini.
Menurut beliau, jeti sedia ada di Sungai Linggi akan dinaik taraf dan dibangunkan sebagai sebuah dataran yang mampu menarik lebih ramai pengusaha sekali gus mengembangkan aktiviti ekonomi penduduk.
“Jika dahulu kita hanya tingkatkan di kawasan Pengkalan Kempas, tetapi selepas ini, kita akan mulakan di Tanjung Agas sebab Sungai Linggi pun bermula di situ.
“Insya-Allah, selepas pillihan raya negeri ini kita akan mulakan supaya jeti di situ dinaik taraf dan disediakan untuk sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Pengkalan Durian di sini.

Aminuddin berkata, pembangunan dan pelancongan setempat bukan sahaja dapat memperkenalkan Linggi, malah menjadi sumber ekonomi baharu kepada nelayan agar tidak terlalu bergantung kepada hasil tangkapan laut.
“Sekarang bukan mudah untuk nelayan turun ke laut banyak cabarannya, jadi dengan adanya peluang ini saya yakin bahawa nelayan boleh mengubah fokus mereka bukan sahaja menangkap ikan atau udang.
“Tetapi kini mereka dapat beralih dalam mengusahakan ekonomi baharu berasaskan industri pelancongan,” katanya.
Jelas Aminuddin, Linggi bukan sahaja mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, malah kawasan itu berpotensi dimajukan menerusi sektor pelabuhan dan perindustrian.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan pembangunan tersebut sebagai satu perubahan besar atau ‘game charger’ bagi DUN Linggi, khususnya kawasan Pasir Panjang.
Katanya, potensi kawasan itu semakin besar dengan adanya pembangunan pelabuhan baharu, Midport yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang pertama seumpanya di negara ini.
Tambah beliau, pembangunan pelancongan, pelabuhan dan perindustrian secara bersepadu mampu menjadikan Linggi sebagai kawasan yang lebih dinamik serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Kerusi DUN Linggi yang mempunyai 18,420 pengundi menjadi antara ‘kerusi panas’ pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Aminuddin disaingi calon penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said yang juga Ketua Bersatu Cawangan Linggi.
Aminuddin membuat penampilan sulung di Linggi selepas empat penggal mewakili DUN Sikamat.














