TANGGAL 31 Ogos akan tiba menandakan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 tahun.
Jalur Gemilang berkibar megah di setiap pelosok negara, lagu patriotik mula dimainkan dan laungan “Merdeka!” bergema penuh semangat.
Ketika usia kemerdekaan Malaysia sudah memasuki fasa veteran, di celah-celah kemeriahan itu wujud satu persoalan yang mungkin tidak begitu enak didengar oleh warga bola sepak negara, benarkah bola sepak Malaysia sudah benar-benar merdeka?
Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah, kemerdekaan juga bermaksud bebas daripada kelemahan yang membelenggu diri sendiri dan jika ukuran itu digunakan, bola sepak Malaysia masih mempunyai perjalanan panjang.
Ironinya, kita mungkin asyik bercakap tentang ranking dunia, pemain warisan berkualiti, kemasukan pemain import hebat dan diulit cerita layak ke Piala Asia, namun dalam keghairahan mengejar langit, jangan sampai kita lupa tanah yang sedang dipijak.
Apa gunanya sebuah liga yang kelihatan gah, berstatus professional jika saban tahun peminat sering ditabur cerita tunggakkan gaji pemain.
Memang ada saluran tersedia tetapi apa kesudahannya? Agak malu sebenarnya apabila ada jurulatih seperti B. Sathianathan, Rosle Md Derus dan Ismail Zakaria tidak sempat mendapatkan hak hasil titik peluh masing-masing sehingga nafas terakhir.
Itu sudah cukup untuk menggambarkan kegagalan sebuah sistem menghargai manusia yang pernah berjaya kepada negara.
Kita mahukan aksi bertaraf tinggi tetapi perkara asas masih di titik terendah dan persoalannya kini, siapa sebenarnya sedang membina masa depan dan layak digelar ‘Bapa Kemerdekaan’ bola sepak Malaysia?
Peluang anak tempatan bermain juga agak membimbangkan memandangkan banyak kelab lebih cenderung menagih khidmat import yang kosnya lebih tinggi.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat, secara dasarnya gabungan muka baharu dan mereka yang pernah berada di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah langkah wajar untuk mewujudkan semak imbang serta boleh memacu badan induk itu ke arah lebih baik.
“Ada bagusnya (memilih gabungan individu berpengalaman dan baharu) kerana seperti yang orang katakan, tiada yang lama maka tiada yang baharu. Mungkin mereka yang pernah ada dalam FAM pada penggal sebelum ini atau mereka yang kalah dalam pemilihan lepas boleh bertanding.
“Sebaiknya juga, muka baharu itu haruslah terdiri daripada mereka yang ada kepakaran kepada bidang masing-masing. Misalnya kalau Jawatankuasa Media, biarlah mereka daripada bidang media,” katanya.
Ketika ini, usaha untuk menjadikan industri bola sepak negara lebih baik akan bermula dengan Kongres Pemilihan FAM yang dijangka bakal diadakan, September ini.
Kemerdekaan bola sepak Malaysia bukan apabila stadium kembali penuh, ranking dunia meningkat atau trofi berjaya dijulang, sebaliknya salah satu erti kemerdekaan sebenar ialah apabila kontrak setiap pemain dan jurulatih dihormati, dibayar mengikut haknya.














