fbpx
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

F1 Bahrain di Sepang pacu pelancongan, ekonomi negara – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Formula One (F1) Bahrain Grand Prix yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober ini dijangka menjana limpahan ekonomi jangka panjang kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu juga mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran bertaraf dunia.

Beliau berkata, ia satu penghormatan besar kepada Malaysia selepas Bahrain memberikan kepercayaan untuk menjadikan SIC sebagai venue perlumbaan itu.

“Walaupun Malaysia tidak lagi menjadi tuan rumah F1 sejak 2017, peluang tersebut membolehkan rakyat negara ini kembali menyaksikan perlumbaan berkenaan secara langsung di SIC selepas hampir sedekad hanya mengikuti aksi perlumbaan menerusi siaran televisyen.

“Saya sebagai seorang yang berminat dalam bidang permotoran, Formula One dan juga MotoGP mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menjadi tuan rumah bagi Formula One pada 2 hingga 4 Oktober tahun ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Bahrain yang telah memberikan kepercayaan kepada Malaysia untuk menganjurkan perlumbaan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

Katanya, meskipun kos penganjuran perlumbaan tersebut adalah besar, ia ditanggung oleh Bahrain sekali gus membolehkan Malaysia menikmati manfaat ekonomi dan promosi tanpa menanggung beban kewangan yang tinggi.

Ahmad Zahid berkata, impak ekonomi yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada kesan segera seperti peningkatan ketibaan pelancong, malah meliputi manfaat jangka sederhana dan panjang hasil liputan meluas media antarabangsa.

“Penonton dan khalayak Formula One mencecah bilion orang di seluruh dunia. Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kita dari segi promosi serta liputan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan SIC sebagai litar bertaraf dunia yang mempunyai kemudahan lengkap dan setanding dengan venue perlumbaan utama antarabangsa.

Jelasnya lagi, kemudahan yang dimiliki SIC seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan selama ini litar tersebut lebih sinonim sebagai lokasi penganjuran MotoGP.

“Ini satu penghargaan yang besar kepada negara kita kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan sayang jika ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap Malaysia dapat kembali menganjurkan perlumbaan Formula One secara lebih konsisten pada masa hadapan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan peruntukan tertentu serta mendapatkan sokongan penajaan syarikat korporat bagi memastikan acara berprestij itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Jelasnya, melalui pendekatan kerjasama pintar, Malaysia mampu terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran bertaraf dunia yang memberi manfaat besar kepada ekonomi dan imej negara
katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN