SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) percaya propaganda lawan yang terus kitar semula isu perkauman tidak lagi memberi kesan kerana rakyat kini lebih celik maklumat dan mampu menyemak fakta dengan mudah.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak tertentu dilihat menganggap pengulangan sesuatu dakwaan akan menyebabkan rakyat mempercayainya, namun situasi kini jauh berbeza.
“Kalau tengok propaganda mereka, mereka fikir bila ulang-ulang orang akan percaya. Saya percaya rakyat sudah celik. Hari ini maklumat berada di hujung jari, masing-masing boleh tengok sendiri ucapan lima tahun dahulu yang dirakam secara langsung.
“Jadi tidak timbul perkara yang mereka dakwa itu. Sebaliknya, rekod lalu menunjukkan merekalah yang sebenarnya menimbulkan masalah,” katanya pada sidang media Program Nogori Beradat, Kito Muafakat anjuran Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Nasional di Senawang hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang menurutnya terus dimainkan sepanjang tempoh kempen walaupun pelbagai penjelasan telah diberikan. – KOSMO! ONLINE














