ALOR GAJAH – Selepas 18 hari bertarung nyawa, seorang pelajar yang parah dalam nahas ketika pulang selepas menyertai kejohanan ping pong pada 8 Julai lalu meninggal dunia di Hospital Melaka pagi tadi.
Mangsa, Qayyim Ajwad Shahiruddin, yang juga pelajar tingkatan empat menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU).
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima makluman daripada Unit Forensik Hospital Melaka berhubung kematian mangsa pada pukul 8.20 pagi tadi.
“Susulan kematian pelajar terbabit, kes kemalangan itu kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 8 Julai lalu itu, mangsa yang menaiki Proton Saga bersama seorang guru pengiring dan dua lagi rakan dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Solok Duku, Alor Gajah.
Nahas itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang dan guru pengiring berusia 24 tahun tersepit di dalam kenderaan berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Dua lagi rakannya berusia 15 dan 16 tahun pula dilaporkan mengalami patah kaki serta cedera akibat hentakan.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas menyertai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Ping Pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheng. – KOSMO! ONLINE














