KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara menyifatkan kehadiran Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ke-29 sebagai satu anugerah dalam membantu beliau mengemudi pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, Ayob Khan bukan sekadar seorang pembantu kanan, malah merupakan rakan seperjuangan yang sentiasa berdiri teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran demi menjulang martabat pasukan Sang Saka Biru.
“Sepanjang lebih 34 tahun berkhidmat dalam pasukan, Ayob Khan membina reputasi sebagai pemimpin yang sarat dengan komitmen, ketegasan dan integriti dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Katanya, Ayob Khan yang merupakan bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menggalas pelbagai jawatan penting termasuk dalam Cawangan Khas, Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum menamatkan khidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ke-29.
Beliau turut menyifatkan ketegasan Ayob Khan dalam membanteras anasir militan serta menjaga keutuhan integriti sebagai contoh yang wajar dijadikan teladan oleh seluruh warga PDRM.
Mengambil perumpamaan ‘kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan’, beliau berkata, sumbangan Ayob Khan akan terus tersemat dalam lipatan sejarah PDRM.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ibrahim Darus atas pelantikan sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.
“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa Datuk Seri mampu memikul amanah ini dengan penuh dedikasi bagi memperkukuh jentera kepimpinan tertinggi pasukan,” katanya.
Pelantikan itu menyaksikan Ibrahim mengambil alih tugas sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara susulan persaraan wajib Ayob Khan. – KOSMO! ONLINE














