KUALA LANGAT – Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, direman empat hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi di rumah sampah asrama kawasan itu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, tempoh reman ke atas remaja berusia belasan tahun itu bermula semalam.
“Reman pelajar itu dibenarkan mahkamah selama empat hari bermula 25 hingga 28 Julai ini (Selasa). Siasatan lanjut kes penemuan mayat bayi perempuan berkenaan masih dijalankan,” katanya hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan.
Kosmo! semalam melaporkan IPT itu dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi dibalut kain yang ditemukan seorang lelaki, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Susulan itu, polis berjaya mengenalpasti dan menahan suspek yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














