fbpx
Paulo Josue meledak dua gol buat skuad negara ketika bertemu Myanmar, sebentar tadi. - Foto ihsan ASEAN United

Piala ASEAN 2026: Harimau Malaya mula ‘mengaum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kapten Harimau Malaya, Paulo Josue muncul wira apabila memastikan Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, sebentar tadi.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah sebelum penyerang naturalisasi negara itu mempamerkan sentuhan penyudah berbisa dengan dua gol pada babak kedua bagi menghadiahkan tiga mata berharga kepada Malaysia.

Pada perlawanan itu, pasukan kebangsaan yang berada di ranking ke-136 dunia memulakan aksi dengan agresif apabila Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad hampir membuka tirai jaringan.

Namun, kelekaan di benteng pertahan menyaksikan Myat Kaung Khant meledak gol pembukaan pada minit ke-10.

Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Endrick Dos Santos tetapi tidak berjaya menerjah jaring.

Myanmar hampir menggandakan kelebihan menjelang tamat separuh masa pertama, namun rembatan Win Naing Tun terkena palang gol hasil serangan balas pantas sekali gus memberi kelegaan buat kem negara.

Bersambung babak kedua, Malaysia tampil dengan semangat berbeza dan hanya memerlukan tujuh minit untuk menyamakan kedudukan menerusi penyudah pada situasi sepakan penjuru..

Nasib terus memihak kepada kem negara apabila kapten Myanmar, Nanda Kyaw menjatuhkan Mohamadou Sumareh sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia.

Josue tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila mudah memperdayakan penjaga gol, Zin Nyi Nyi Aung untuk meledak gol kemenangan buat Harimau Malaya.

Myanmar cuba bangkit tetapi penjaga gol Malaysia, Azri Ghani bertindak cemerlang untuk menyelamatkan beberapa siri percubaan tuan rumah dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Selepas ini, skuad negara akan bertemu Laos di Stadium Kuala Lumpur, Cheras untuk aksi kedua Kumpulan B pada Selasa depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN