fbpx
Anwar ketika berucap pada program Generasi Muda, Suara Baharu yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Laman MBPJ, di sini hari ini. AMIR KHALID/KOSMO!

Peruntukan terus kepada rakyat, bukan Ahli Parlimen – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan tidak pernah memotong peruntukan pembangunan untuk rakyat, sebaliknya hanya mengubah kaedah penyaluran dengan menyalurkan dana terus kepada rakyat dan projek komuniti dan bukan melalui Ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tetap menyediakan dana bagi pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat, namun tidak menyalurkannya terus kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Kita tidak pernah potong peruntukan untuk rakyat. Untuk masjid, kuil, tokong, taman, sekolah, semuanya kita beri.

“Apa yang kita tidak beri ialah kepada Ahli Parlimen. Yang penting rakyat dapat projek,” katanya ketika berucap pada program Generasi Muda, Suara Baharu yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Laman MBPJ, di sini hari ini.

Jelas beliau, dakwaan kononnya kerajaan tidak menyediakan peruntukan kepada kawasan pembangkang adalah tidak benar kerana peruntukan untuk kemudahan rakyat tetap disalurkan.

“Ada yang bertanya kerana Ahli Parlimen kita dua-dua ini tengah goyang. Dia goyang sikit, kadang-kadang goyang banyak. Jadi dia kata tidak ada peruntukan.

“Saya jawab, dalam perjanjian kita sebagai kerajaan, kalau kamu tidak sokong kerajaan, kamu kena buat tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan tetap menyalurkan peruntukan bagi pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan awam termasuk sekolah, rumah ibadat, sistem perparitan serta keperluan asas lain, namun tidak lagi melalui Ahli Parlimen.

“Kita ada duit. Kita tidak beri kepada mereka, kita beri kepada rakyat. Kita beri kepada sekolah, bukan kepada mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan dana kerajaan dimanfaatkan terus oleh rakyat tanpa disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

Menurut Anwar, rakyat hanya perlu mengemukakan permohonan melalui saluran yang betul dan kerajaan akan memastikan setiap projek yang diluluskan dapat dilaksanakan.

Turut hadir sama pada program tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN