fbpx
Mohd. Yusri ketika sidang akhbar di PPM Wilayah 1 Batu Uban, petang tadi. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

30 minit kejar bot fiber bawa dadah RM5.69 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan menggunakan jalan laut sekali gus merampas dadah jenis Methamphetamine bernilai RM5.69 juta, 17 Julai lalu.

Serbuan Op Taring Gelora yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) dengan kerjasama Bot Ronda PSC 60 dan PSC 45 itu turut menahan dua lelaki Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dadah ke negara terbabit.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber di kedudukan kira-kira 7 batu nautika di Selatan Pulau Rimau.

Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak memecut laju bot berkenaan menghala ke negara jiran dengan melakukan pelbagai manuver berbahaya bagi mengelak ditahan.

“Bot dinaiki dua suspek berusia 30 dan 51 tahun itu akhirnya berjaya dipintas selepas setengah jam aksi mengejar dilakukan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 113 kilogram (kg) dadah disyaki Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM5,68 juta selain 3,497 kartrij rokok elektronik iaitu vape mengandungi cecair disyaki Methamphetamine seberat 6.3 kg dengan anggaran nilai RM315,000.

“Dadah dalam bungkusan teh Cina itu ditemui di dalam satu beg karung yang diletakkan di bahagian hadapan bot,” katanya pada sidang akhbar di Markas PPM di Batu Uban di sini, tadi.

Nilai keseluruhan kesemua dadah yang dirampas berserta bot adalah bernilai RM6.12 juta.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan mendapati suspek memperoleh upah sebanyak RM10,000 seorang bagi setiap perjalanan.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung sumber bekalan dadah termasuk dalang disebalik penyeludupan dadah itu,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, rampasan dadah tersebut bukan sahaja menggagalkan cubaan penyeludupan dadah ke Indonesia, malah menghalang pengedaran syabu yang dianggarkan boleh digunakan lebih 570,000 penagih.

“Cecair dadah dalam vape pula mampu dibekalkan kepada kira-kira 31,500 penagih,” ujarnya kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN