fbpx
Nur Syuhada dan dua anaknya menerima bantuan menginap di hotel bajet di Menggatal sebelum berpindah ke rumah sewa pada Rabu lalu.

Tiga beranak tidur dalam kereta sudah dapat rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Episod duka tiga beranak yang terpaksa menjadikan kereta sebagai ‘rumah’ selama hampir seminggu akhirnya mampu berehat dengan tenang selepas dibantu oleh seorang doktor.

Ibu tunggal, Nur Syuhada Naquiyyah Abdul Majid, 33, telah berpindah masuk ke sebuah rumah sewa di kawasan Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu lalu bersama dua anaknya masing-masing berusia dua dan 11 tahun.

Nur Syuhada berkata, rumah sewa berkenaan diperoleh hasil bantuan seorang doktor yang sudi membayar deposit kediaman tersebut.

Menurutnya, dia pada asalnya berhasrat mengumpul sendiri wang bagi membayar deposit rumah sewa berkenaan, namun tidak menyangka ada insan berhati mulia tampil menghulurkan bantuan.

“Memang saya niat untuk kumpul sendiri deposit rumah itu, tetapi saya tidak sangka ada doktor yang bantu saya. Dia tidak mahu identitinya didedahkan, cuma saya boleh beritahu dia bekerja sebagai doktor dan mempunyai klinik sendiri.

“Rabu malam lalu saya dah berpindah masuk ke rumah sewa di kawasan Menggatal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, kisah Nur Syuhada yang terpaksa bermalam di dalam kereta bersama dua anaknya mengundang perhatian ramai selepas perkongsiannya di media sosial tular.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang hampir seminggu hidup di dalam kereta sejak Rabu minggu lalu, dia akan memastikan mereka berhenti di kawasan yang selamat untuk bermalam.

“Kalau berhenti untuk bermalam, saya akan cari kawasan selamat seperti stesen minyak atau depan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, beberapa individu prihatin turut membiayai penginapan mereka di hotel bajet kerana tidak sanggup melihat keadaannya dan anak-anak berhimpit di dalam kereta.

“Dalam tempoh seminggu itu ada beberapa hamba Allah yang suruh saya tinggal di hotel bajet sebab mereka tidak sanggup lihat saya dengan anak-anak dalam kesempitan kereta,” katanya.

Nur Syuhada berkata, selepas kisahnya mendapat perhatian ramai, pelbagai pihak tampil menawarkan bantuan termasuk sumbangan kewangan yang dimasukkan ke akaun e-dompet miliknya kerana dia tidak mempunyai akaun bank.

“Ada juga yang menawarkan pakaian untuk anak dan bayi saya. Mereka cakap mahu hantar sendiri bantuan kepada saya, tetapi saya terpaksa tolak sebab saya belum bersedia untuk berjumpa sesiapa,” katanya.

Menurut Nur Syuhada, sebelum ini ramai juga menawarkan tempat tinggal sementara, namun kebanyakannya berada di Semenanjung.

Kini, katanya, keutamaan adalah mendapatkan pekerjaan tetap bagi memastikan kehidupan keluarganya kembali stabil.

Dalam pada itu, Nur Syuhada mengakui turut menerima lamaran daripada individu yang menyatakan hasrat mahu mengahwininya selepas kisahnya tular.

Namun, katanya, perkara itu bukan keutamaan ketika ini kerana dia masih berada dalam fasa paling sukar dalam hidupnya.

“Saya berada di titik paling rendah dan paling lemah. Saya takut kalau satu hari nanti perkara yang saya lalui ini akan menjadi ungkitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN