JEMPOL – Kementerian Pengangkutan meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyusun semula jadual perkhidmatan tren di laluan Gemas-Kuala Lipis bagi meningkatkan kekerapan perjalanan dan memastikan sambungan yang lebih lancar dengan perkhidmatan Elektrik Tren (ETS).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dapat dilaksanakan bagi elak waktu menunggu yang lama di Stesen Gemas.
Menurut beliau, ketika ini hanya terdapat tiga perjalanan sehari bagi laluan Gemas-Kuala Lipis bagi setiap arah.
“Saya telah meminta KTMB melihat kepada kekerapan supaya dapat disambungkan dengan ETS. Apa yang penting ialah mesti ada ketersambungan yang baik dengan ETS.
“Kalau kita dapat menyusun jadual itu, sebaik sahaja penumpang tiba di Stesen Gemas, masa menunggu hanya sekitar 10 hingga 15 minit sebelum boleh terus menaiki ETS. Itu yang paling sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Projek Siap Rel Gemas – Mentakab, di Stesen KTMB Bahau, di sini, hari ini.
Anthony berkata, Gemas kini menjadi hab pertukaran utama yang menghubungkan laluan Pantai Timur dan Pantai Barat, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan rangkaian rel negara. – KOSMO! ONLINE














