SERDANG – Hampir dua dekad mengusahakan perniagaan barangan perkakas dapur di Pasar Borong Selangor di sini, seorang peniaga kini hanya mampu menerima hakikat premis yang menjadi sumber rezekinya musnah dalam kebakaran malam tadi.
Lee Chee Leong, 42, berkata, dia bergegas ke premis sebaik dimaklumkan oleh pekerjanya mengenai kebakaran kira-kira pukul 11 malam.
Menurutnya, perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit sudah cukup untuk menyaksikan api merebak dengan begitu pantas sehingga tiada apa yang dapat diselamatkan.
“Apabila pekerja hubungi saya, saya terus datang. Sampai sahaja di sini, api sudah terlalu besar dan mustahil untuk sesiapa masuk ke dalam bangunan.
“Semua pekerja hanya mampu melihat kerana keadaan ketika itu memang berbahaya,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Lee berkata, dia masih belum mengetahui punca kebakaran kerana ketika tiba di lokasi, seluruh kawasan telah diselubungi asap tebal.
“Kita serahkan kepada bomba untuk menjalankan siasatan. Buat masa ini saya sendiri tidak tahu bagaimana kebakaran itu boleh bermula,” ujarnya.
Menurutnya, premis tersebut merupakan cawangan utama syarikat miliknya yang menjual pelbagai barangan dapur seperti mangkuk, pinggan, cawan, sudu dan kuali.
“Selama 18 tahun saya berniaga di sini. Semua stok dalam premis ini habis terbakar.
“Jumlah kerugian belum dapat dipastikan, tetapi saya percaya nilainya mencecah jutaan ringgit,” jelasnya.
Dia berkata, pihaknya akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa serta proses tuntutan insurans sebelum memutuskan langkah seterusnya bagi meneruskan operasi perniagaan. – KOSMO! ONLINE














