JEMPOL – Walaupun diasak dengan pelbagai soalan, DAP tetap berpegang teguh dengan pendirian mereka bahawa calon Menteri Besar bagi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan ialah Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu dinyatakan secara jelas dalam Undang-undang Tubuh Negeri iaitu Menteri Besar merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu dan beragama Islam.
“Calon Menteri Besar kita hanya seorang sahaja iaitu Tok Min (Aminuddin). Saya tidak memenuhi syarat dan kelayakan tersebut. Okey, terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Projek Siap Rel Gemas-Mentakab, di Stesen KTMB Bahau, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang dilaporkan berkata, PH hanya mempunyai Aminuddin sebagai sandaran bagi jawatan Menteri Besar.
Malah, ketika ditanya mengenai dakwaan Asyraf, kedudukan Aminuddin ‘goyah’ bertanding di kubur kuat BN, Anthony berkata, itu hanyalah kenyataan ‘jahat’. – KOSMO! ONLINE














