JOHOR BAHRU – Baru sebulan menikmati keuntungan hasil mencuri bekalan elektrik, kegiatan satu sindiket perlombongan mata wang kripto (bitcoin) akhirnya tersungkur selepas empat premis operasi mereka diserbu polis dalam Op Elektrik di Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kulai, Rabu dan semalam.
Dalam operasi itu, tiga lelaki terdiri daripada seorang warga China serta dua lelaki India diberkas, manakala 71 mesin perlombongan bitcoin yang dipercayai menjadi ‘kilang duit’ sindiket tersebut dirampas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahman Arshad berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Selatan.
Beliau berkata, tiga suspek berusia antara 26 hingga 46 tahun itu dipercayai mengendalikan operasi perlombongan mata wang kripto dengan menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira sebulan sebelum berjaya dikesan hasil risikan dan perkongsian maklumat bersama pihak TNB.
“Sindiket ini disyaki telah berjaya mengaut keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang sebulan beroperasi secara haram di premis kediaman dan rumah kedai,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurut Ab Rahaman, sindiket menggunakan kaedah ‘tapping’ atau sambungan elektrik secara terus tanpa melalui meter TNB bagi mengelakkan bayaran bil elektrik yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan.
Katanya, hasil serbuan itu polis merampas 71 mesin perlombongan mata wang kripto, dua komputer, dua komputer riba, lima penghala (router), enam mangga pelbagai jenama, dua monitor, dua papan kekunci komputer, sebuah tetikus, tiga rangkai kunci, sebuah telefon bimbit dan dua buah kenderaan.
“Hasil semakan TNB mendapati kegiatan di empat premis berkenaan menyebabkan anggaran kerugian sebanyak RM67,502.30 akibat kecurian bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mengganggu atau mengubah pepasangan elektrik. – KOSMO! ONLINE














