SHAH ALAM – Pekerja kebun warga Bangladesh yang tular merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, Md. Habibullah, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Nissan Almera dengan cara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhamad Jafni Baharudin, 29, di persimpangan empat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam kira-kira pukul 8.23 malam pada 21 Julai lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya baharu sahaja menerima cahaya mata seminggu lalu di negera asalnya.
Jelasnya, tertuduh juga hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dengan menanggung kedua-dua ibu bapanya di Bangladesh.
“Ini kesalahan boleh dijamin di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah dengan bukan warga negara masih ada hak untuk dijamin.
“Majikan tertuduh akan menjadi penjamin dan bersetuju sebarang syarat tambahan seperti penyerahan dokumen atau melapor diri di balai polis terdekat,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.
“Lesen tertuduh ditarik balik dan digantung sehingga kes selesai,” tegasnya.
Sementara itu, Partiben ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, pertuduhan tidak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana siasatan mendapati anak guamnya bukan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Sebaliknya, pertuduhan dibuat atas kesalahan memandu secara melulu.
“Jangan spekulasi perkara ini dan biarkan proses mahkamah berjalan seperti biasa,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang wanita yang merupakan kakak mangsa dalam hantaran di Threads, tidak menyangka dia kehilangan satu-satunya adik lelaki dalam kejadian itu dan mohon bantuan orang ramai untuk mengesan pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian.
Hantaran berkenaan meraih perhatian orang ramai termasuk beberapa orang rakan Allahyarham yang memuji keperibadian lelaki itu ketika hayatnya. – KOSMO! ONLINE














