WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) akan mengenakan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang berhubung isu buruh paksa, menggantikan tarif global tamat tempoh yang dilancarkan oleh Presiden Donald Trump awal tahun ini.
Cukai berkuat kuasa hari ini itu berbeza-beza, dari 10 peratus hingga 12.5 peratus dan memberi impak kepada ekonomi utama dunia seperti China, India serta Kesatuan Eropah(EU).
“Amerika Syarikat melaksanakan larangan import (produk menggunakan) buruh paksa selama hampir satu abad, dan menguatkuasakannya secara ketat. Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama,” kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Beliau sebelum ini berkata, ekonomi yang disasarkan mewakili majoriti rakan perdagangan AS.
Langkah itu diumumkan selepas siasatan berbulan-bulan dan dianggap lebih kebal terhadap cabaran undang-undang berbanding tarif terdahulu.
Di bawah tarif terbaru tersebut, negara yang melaksanakan larangan import buruh paksa atau komited berbuat demikian dikenakan tarif rendah cuma 10 peratus. Ini termasuk Kanada, EU, India dan United Kingdom.
China, Jepun, Korea Selatan dan berpuluh-puluh negara lain dianggap layak menerima tarif 12.5 peratus lebih tinggi.
Namun, EU, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland menerima sedikit kelonggaran, selaras dengan perjanjian perdagangan yang dicapai sebelum ini bersama Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Washington secara berasingan menyiasat 16 ekonomi berhubung lebihan kapasiti industri, dalam siasatan yang boleh membawa kepada tarif tambahan. – AFP














