REMBAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan debat antara pemimpin atau calon yang bertanding dalam pilihan raya sebagai tidak perlu kerana ia bukan medan pemilihan presiden parti.
Beliau berkata, pemimpin dan jentera parti sepatutnya memberi tumpuan kepada gerak kerja kempen serta usaha mendekati pengundi, bukannya membuang masa dengan perdebatan.
“Tak perlulah debat. Ini bukannya pemilihan presiden. Kalau dalam pemilihan presiden, bolehlah berdebat-debat. Sebab itu ketika Datuk Onn Hafiz Ghazi diajak berdebat dengan (Dr) Maszlee Malik, saya kata jangan buang masa.
“Maszlee itu standardnya berdebat dengan ketua bahagian sahaja,” katanya kepada pemberita ketika sidang media sempena program santai bersama beliau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pedas Tengah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerima pelawaan debat daripada pihak lawan.
Jalaluddin sebelum ini dilaporkan tidak keberatan menyahut cabaran debat daripada mana-mana pihak, termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekiranya menerima pelawaan tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau yang diminta mengulas mengenai ‘Perikatan Barisan Nasional’ yang diwarwarkan oleh Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat membentuk gabungan politik baharu dengan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya mengadakan persefahaman bagi menghadapi pilihan raya.- KOSMO! ONLINE














