fbpx
Pemilihan calon dan kekuatan logo parti merupakan dua faktor yang saling melengkapi dalam menentukan kemenangan.

Calon, logo, isu istana dijangka jadi penentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Negeri Sembilan kali ini berpotensi menjadi petunjuk awal terhadap arah sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Meskipun tiada satu kerusi tertentu yang dilihat terlalu menonjol sebagai ‘ibu segala pertempuran’, keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka sengit.

Pertembungan kali ini turut menjadi ujian besar kepada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), khususnya selepas kemenangan besar BN dalam PRN Johor baru-baru ini.

Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Profesor Dr. Jayum Anak Jawan berkata, petunjuk awal mengenai parti yang berada di landasan terbaik boleh dilihat menerusi kekuatan asas, pene­rimaan calon serta keupayaan jentera masing-masing selepas proses penamaan calon selesai.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga berkata, berdasarkan komposisi DUN sebelum ini, BN dan UMNO mempunyai asas politik yang kukuh dengan menguasai 14 kerusi.

“PH pula menguasai 17 kerusi menerusi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara, manakala PN mempunyai lima kerusi yang terdiri daripada PAS dan Bersatu.

“Dari segi kekuatan politik lalu, BN dan UMNO mempunyai pengaruh besar di Negeri Sembilan. Namun, keputusan bekerjasama dengan PN agak memeranjatkan selepas gelombang biru di Johor menunjukkan BN sebenarnya mampu berdiri sendiri.

“Kerjasama tersebut mungkin menimbulkan persepsi bahawa BN kurang yakin untuk menghadapi pilihan raya ini secara bersendirian seperti yang dilakukan di Johor,” katanya.

Jayum berkata, pemilihan calon dan kekuatan logo parti merupakan dua faktor yang saling melengkapi dalam menentukan kemenangan.

Katanya, logo parti yang kukuh tidak semestinya menjamin kemenangan sekiranya calon yang diketengahkan tidak diterima masyarakat setempat.

“Rakyat tidak akan memilih sesebuah parti jika calon itu tidak disukai, sama ada di­sebabkan keperibadiannya, rekod terdahulu atau dianggap tidak dekat de­ngan pengundi.

“Calon yang baik juga memerlukan parti yang mempunyai akar umbi dan jentera tersusun untuk membawa mesejnya kepada pengundi, le­bih-lebih lagi tempoh kempen hanya dua minggu.

“PRN ini bukan semata-mata mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan negeri tetapi turut membawa implikasi kepada arus politik nasional menjelang PRU16,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, isu istana dijangka memainkan peranan besar dalam kempen kali ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga berkata, PRN ini diadakan selepas berlaku perubahan sokongan yang menyebabkan kerajaan negeri tidak lagi mempunyai majoriti yang selesa.

“Oleh sebab itu, isu istana dan persoalan mengenai punca pilihan raya diadakan lebih awal akan menjadi antara perkara yang diperdebatkan sepanjang kempen. PH dan BN masing-ma­sing ada kelebihan tersendiri.

“BN masuk gelanggang PRN dengan momentum kemena­ngan besar di Johor, manakala PH mempunyai kekuatan orga­nisasi serta kelebihan melalui pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya.

Namun, katanya, sebahagian kerusi yang dimenangi BN sebelum ini mempunyai majoriti kurang daripada 1,000 undi dan keadaan tersebut menjadikan kerusi berkenaan berisiko.

“Kawasan bandar pula cende­rung memberi sokongan kepada PH kerana mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu lebih besar. Jika pola pe­ngundian se­perti di Johor berulang dan undi Melayu tidak ba­nyak berpecah, keadaan itu boleh memberikan kelebihan kepada BN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN