fbpx
Murugan ketika dibawa ke Mahkamah Klang. Foto oleh AFIQ RAZALI

Bekas pemandu e-hailing didakwa rompak, tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Bekas pemandu e-hailing dihadapkan di mahkamah berasingan hari ini atas pertuduhan rompakan bersenjata, penipuan dan kecurian yang mengakibatkan kerugian barang kemas serta wang tunai melebihi RM90,000.

Tertuduh, B. Murugan,52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan berasingan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen dan tiga Majistret.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa dua pertuduhan rompakan bersenjata menggunakan pisau terhadap dua wanita warga tempatan kedua-duanya berusia 74 tahun di Taman Sri Sentosa dan Bandar Sultan Sulaiman di sini pada 3 Januari 2024 dan 10 Februari lalu.

Pertuduhan dihadapan Hakim Mujib Saroji dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, sekiranya disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Murugan didakwa atas tiga pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mamat dan Majistret Nor Azilah Mat dan empat pertuduhan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.

Kesemua pertuduhan itu membabitkan lima kesalahan menipu, empat kesalahan mencuri termasuk satu kes mencuri dalam bangunan serta satu kesalahan merompak melibatkan 10 wanita berusia antara 57 hingga 77 tahun di sekitar Klang dari 2022 hingga tahun ini.

Bagi pertuduhan menipu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Bagi kesalahan mencuri dalam bangunan pula, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala pertuduhan mencuri dikemukakan mengikut Seksyen 379 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar, Mohammad Uzzair Rosman, Salman Alfarisi Nawawi dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak mencadangkan jaminan antara RM4,000 hingga RM12,000 bagi setiap kesalahan serta perlu mematuhi syarat tambahan jika dikenakan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam T. Daneish memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan bekas pemandu e-hailing, penanggung tunggal keluarga serta menghidap penyakit jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM46,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 September di Mahkamah Sesyen dan 13 Oktober depan di Mahkamah Majistret. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN