TELUK BAHANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini membalas pantun yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status hubungan mereka, sambil menegaskan hubungan kedua-duanya kekal utuh.
Ketika diminta mengulas mengenai pantun Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid berkata, beliau turut menghasilkan empat rangkap pantun selepas membaca laporan berita berhubung perkara tersebut.
“Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung, temui maut.
Bumbung tercabut mampu ditahan,
Jika ribut diterbang ke laut.”
Beliau membaca pantun itu kepada pemberita pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB Ke-61 Bilangan 1 Tahun 2026 di sini, tadi.
Ahmad Zahid memberitahu lagi, beliau menyiapkan pantun berkenaan pada pukul 9.04 malam tadi, selepas Perdana Menteri memuat naik hantaran beserta beberapa keping gambar, dengan foto pertama memperlihatkan Anwar bersama Ahmad Zahid sedang tersenyum, semalam.
“Hubungan kami baik. Jangan risau. Macam-macam dakwaan dibuat. Saya tegaskan, saya langsung tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan kerajaan.
“Tidak ada apa yang disebut sebagai ‘Langkah Bangkok’ atau ‘Langkah Dubai’. Apabila kami membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, kami komited untuk terus bersama sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
“Itu pendirian kami. Jangan timbulkan sebarang keraguan. Apa sahaja orang mahu katakan, biarlah. Yang penting, kita ikhlas mempertahankan kestabilan politik negara,” ujarnya ketika ditanya mengenai hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai hubungan Anwar dan Ahmad Zahid, khususnya ketika PH serta BN berdepan perbezaan pendirian berkaitan kerjasama dan pembahagian kerusi pilihan raya negeri. – KOSMO! ONLINE














