fbpx
Anwar ketika menyantuni delegasi pada majlis pelancaran Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Ekonomi manusiawi perlu jadi asas dasar, bukan sekadar slogan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Konsep ekonomi manusiawi tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap dasar, institusi dan tatakelola negara bagi memastikan pembangunan benar-benar memartabatkan insan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pembangunan ekonomi perlu kembali kepada tujuan asalnya iaitu meningkatkan maruah, keselamatan dan harapan hidup rakyat, bukannya hanya mengejar angka pertumbuhan semata-mata.

“Ekonomi ialah satu alat, bukannya matlamat. Tujuannya bukan sekadar menghasilkan angka yang lebih tinggi atau kekayaan yang lebih besar, tetapi membolehkan rakyat hidup dengan maruah, keselamatan, tujuan dan harapan,” katanya ketika berucap pada majlis Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan setiap dasar termasuk belanjawan, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital sentiasa dipandu oleh nilai moral serta kepentingan rakyat.

Katanya, kemakmuran sebenar perlu diterjemahkan melalui gaji yang lebih baik, pekerjaan bermakna, perumahan mampu milik, akses kesihatan berkualiti, pendidikan yang baik serta mobiliti sosial yang lebih luas kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis iklim, revolusi teknologi, jurang ketidaksamaan serta peperangan yang menuntut pendekatan baharu berasaskan ekonomi manusiawi.

Anwar turut menggesa golongan muda supaya tidak mudah berputus asa terhadap masa depan negara, sebaliknya terus percaya bahawa masyarakat yang lebih adil mampu dibina berasaskan ilmu, keadilan dan tanggungjawab bersama.

HEGD 2026 berlangsung selama dua hari bertemakan Reclaiming Humanity for Shared Prosperity dengan menghimpunkan lebih 40 tokoh ekonomi, ahli akademik, pemimpin industri dan pembuat dasar dari pelbagai negara bagi membincangkan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN