KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji kepada umum selepas mendapati institusi itu kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan stabil.
Beliau berkata, kerajaan pada asalnya telah bersetuju untuk menerbitkan laporan berkenaan, namun keputusan itu ditangguhkan ketika proses pemulihan Tabung Haji sedang dijalankan bagi mengelakkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.
“Ketika itu kita bimbang kerana Tabung Haji dalam proses pemulihan. Kita letak Tan Sri Rashid Hussain dan pasukan baharu untuk membersihkan berdasarkan pandangan serta teguran laporan suruhanjaya.
“Kalau dilakukan terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan pencarum dan penyimpan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, beliau kini tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan laporan tersebut kerana rakyat berhak mengetahui kandungannya.
“Sekarang saya rasa Tabung Haji telah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkannya. Sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui.
“Cuma saya akan teliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu. Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu hari Rabu,” katanya.
Mengulas sama ada kesemua lapan jilid laporan itu akan didedahkan kepada umum, Anwar berkata, kerajaan sebelum ini pernah bercadang berbuat demikian tetapi mengambil pendekatan berhati-hati kerana bimbang berlaku pengeluaran besar-besaran simpanan Tabung Haji.
Beliau berkata, terdapat pelanggaran pelbagai peraturan dan salah guna kuasa yang besar dalam pengurusan terdahulu, namun enggan melabelkannya sebagai rasuah.
“Selepas bertahun-tahun, saya rasa Tan Sri Rashid dan pasukan telah melakukan tugas yang sangat baik. Mereka menguruskan Tabung Haji sebagai institusi yang diurus dengan baik, telus dan diaudit dengan sempurna.
“Jadi saya melihat tiada sebab mengapa laporan itu tidak boleh didedahkan, namun saya perlu melihat sama ada perlu mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu atau boleh terus mengeluarkannya,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menafikan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir menjual aset strategik Tabung Haji.
Beliau menjelaskan penjualan aset bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. pada 2018 merupakan keputusan kolektif Kabinet bagi menutup defisit RM10.9 bilion dan menyelamatkan institusi itu, selain aset berkenaan kini mula dibeli semula selepas kedudukan kewangan Tabung Haji kembali kukuh. – KOSMO! ONLINE














