KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bekerja keras ketika mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka China.
Pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas pasangan No.1 dunia itu memerlukan masa 51 minit untuk mencatat kemenangan 15-21, 21-15, 21-16 ke atas Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan.
Turun sebagai pilihan kelima kejohanan, beregu yang diberi julukan DinFei itu tersentak seketika apabila tewas di set pertama sebelum kembali memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua.
Memasuki set penentuan, aksi beregu No.6 dunia itu tampak lebih kemas dan berjaya menguasai sebahagian besar permainan walaupun Zhi Ray-Yu Chieh beberapa kali cuba untuk merapatkan kedudukan.
Menerusi kemenangan itu, Sze Fei-Izzuddin akan membuat perhitungan dengan beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard di pusingan kedua nanti selepas mereka menewaskan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 20-22, 21-16.
Sementara itu, gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Clarissa San turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jerman, Marvin Seidel-Nguyen Thuc Puong 21-17, 21-19. – KOSMO! ONLINE














