PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi bagi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos depan.
RTM menerusi kenyataan media berkata, ia menyambung momentum kejayaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 yang tamat Isnin lalu.
Menurut RTM, pihaknya bakal membawakan liputan siaran langsung aksi atlet negara di persada antarabangsa melalui saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik.
Ia meliputi media sosial rasmi RTM, dan turut disiarkan melalui saluran Sukan+ di platform Astro 806.
“RTM dijadualkan membuat liputan menyeluruh acara berprestij ini bermula dengan Upacara Pembukaan yang disiarkan pada awal pagi hingga ke Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Sepanjang tempoh berlangsungnya temasya ini juga RTM menyiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia dua sesi siaran langsung laporan harian, tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian selama sejam,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan sama, secara keseluruhannya, RTM akan memberikan penonton hampir 100 jam jumlah siaran bagi memberikan pengalaman mengikuti acara-acara yang berlangsung di Glasgow, Scotland.
“Dua sesi siaran langsung laporan harian iaitu sesi pagi bermula 24 Julai hingga 2 Ogos, pukul 6 petang hingga 9 malam, dan diikuti sesi petang mulai 25 Julai hingga 2 Ogos, pukul 1 pagi hingga 4 pagi.
“Masing-masing tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian mulai 25 Julai hingga 3 Ogos selama sejam iaitu pukul 2 hingga 3 petang,” tambah kenyataan sama.
Siaran langsung Grandstand Upacara Pembukaan temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadualkan pada 24 Julai ini, pukul 2.30 hingga 5.30 pagi menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik dan saluran Sukan di platform Astro 806.
Sementara Grandstand Upacara Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026 pula dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos depan, pukul 2.30 hingga 5.30 pagi menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik dan saluran Sukan di platform Astro 806. – KOSMO! ONLINE














