PETALING JAYA – Warga asing dari negara Eropah dan United Kingdom (UK) dikesan semakin cenderung memasuki Malaysia semata-mata untuk mendapatkan bunga ganja sebelum menyeludup keluar bahan itu ke negara masing-masing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan mendapati pelancong dari negara terbabit lazimnya berada di Malaysia selama dua hingga tiga hari sebelum berlepas pulang.
“Mereka membawa bunga ganja ini ke negara masing-masing untuk diproses menjadi ekstrak sebelum digunakan dalam produk vape.
“Ini kerana bunga ganja mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Eropah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kebanyakan individu yang menjadi keldai dadah terjerat dengan sindiket akibat masalah hutang.
Menurutnya, ada juga yang diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu atau tertarik dengan habuan lumayan yang dijanjikan.
Katanya, upah kepada keldai dadah di Malaysia dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000.
“Kebiasaannya mereka akan menerima wang pendahuluan atau deposit terlebih dahulu. Selain itu, tiket penerbangan, penginapan hotel dan keperluan perjalanan turut ditanggung oleh sindiket.
“Sebagai balasan, mereka dikehendaki membawa bagasi yang mengandungi dadah. Ada antara mereka mengetahui kandungan bagasi tersebut, manakala ada juga yang tidak menyedarinya,” jelasnya.
Tambah beliau, ada dalam kalangan keldai dadah menyangka mereka hanya membawa bagasi untuk diserahkan kepada pihak yang menaja atau menguruskan perjalanan mereka.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, majoriti individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 30-an.
Beliau berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, seramai 41 individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan, dengan sembilan daripadanya rakyat Malaysia.
“Daripada 41 individu itu, sembilan melibatkan rakyat Malaysia. Ada yang ditahan di Macau, selain Taiwan, manakala tangkapan terbaharu membabitkan seorang suspek di Sri Lanka,” katanya.
Menurut beliau, bukan semua suspek ditahan kerana membawa dadah dari Malaysia kerana ada yang mendapatkan bekalan dari Thailand atau negara lain sebelum ditahan di negara destinasi.
“Ini menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di negara lain dan bukan semata-mata membawa dadah dari Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Hussien mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada jika ditawarkan pekerjaan atau diminta membantu membawa bagasi milik individu lain ke luar negara.
Katanya, mereka tidak seharusnya menerima tawaran tersebut sekiranya tidak mengetahui kandungan sebenar bagasi berkenaan.
“Hanya terima tanggungjawab tersebut apabila anda benar-benar mengetahui dan yakin akan kandungan bagasi itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














