MELAKA – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berdepan detik cemas apabila kediamannya di Pantai Peringgit di sini dihempap sebatang pokok besar ketika beliau sedang menunaikan solat kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika cuaca hujan lebat yang dipercayai menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu menghempap bahagian hadapan kediaman sehingga merosakkan pintu pagar, bumbung garaj serta tiga kenderaan diparkir di pekarangan rumah.
Kalsom berkata, ketika kejadian beliau sedang menunaikan solat sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
“Saya sedang solat ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi, tiba-tiba terdengar bunyi berderap yang sangat kuat dan bila saya tengok ke luar, halaman rumah sudah ditutupi pokok besar yang tumbang.
“Saya terus mengejutkan anak-anak dan cucu supaya keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, kenderaan yang rosak termasuk kereta rasmi kerajaan dan sebuah van.
“Syukur tiada siapa yang cedera, mujur pokok itu hanya menghempap bahagian hadapan rumah, tapi tak mengapa kereta sahaja yang rosak, yang penting semua ahli keluarga selamat,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














