SUNGAI BULOH – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan empat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.23 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, sebaik tiba di persimpangan berkenaan, sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki warga asing dari arah belakang melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Azie Azyanti Mohd. Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














