PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu, masing-masing merupakan seorang setiausaha dan seorang bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.
Difahamkan, kedua-dua suspek disyaki menerima, memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berkaitan penyelewengan wang pertubuhan di tempat mereka bekerja bernilai kira-kira RM5 juta untuk kepentingan peribadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023,” katanya tadi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dituduh pada 29 Julai depan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. – KOSMO! ONLINE














