MADRID – Juara dunia, Sepanyol mula mengintai peluang untuk mencipta cerita lebih manis dengan memasang impian untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia yang akan berlangsung di bumi sendiri pada edisi 2030.
Ketika ini, bola sepak Sepanyol sedang berada di puncak dunia selepas skuad wanita juga turut bergelar juara dunia pada edisi 2023 dan selepas ini negara itu akan menjadi tuan rumah saingan lelaki, bersama Portugal dan Maghribi.
“Dua (kali final), dua kali juara. Kenapa tidak kita bermimpi untuk kali ketiga pada 2030 terutamanya apabila Sepanyol akan jadi tuan rumah,” kata Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez.
Skuad La Roja sudah pun tiba di Madrid dan diraikan oleh kira-kira dua juta peminat dalam satu majlis perarakan yang dilangsungkan penuh meriah.
Pada perlawanan akhir menentang Argentina, Ferran Torres muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan sekali gus melengkapkan kejuaraan kedua selepas melakukannya pada 2010.
Pengendali pasukan, Luis De La Fuente juga sekali lagi tampil dengan pujian kepada pemainnya yang dilabel sebagai terbaik di dunia dan kejayaan kali ini tidak akan lengkap tanpa sokongan kuat daripada penyokong.
“Saya sentiasa berkata, menjadi juara untuk negara sendiri adalah perkara paling indah, lebih-lebih lagi di Piala Dunia. Generasi sekarang membesar dengan menyaksikan Iker Casillas dan Andres Iniesta mengangkat piala dan sekarang kami lakukannya,” kata kapten pasukan, Rodri. – AGENSI














