fbpx
MENJADI pelakon, Ellyza Azizi enggan menconteng arang ke wajah orang tua dengan melibatkan diri dalam perkara tidak bermoral. – FIRDAUS JOHARI

Saya masih takut, seram bawa watak utama – Ellyza Azizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ZAMAN sekarang barangkali mudah untuk menjadi seorang pelakon. Cukup sekadar pacak kamera, tunjukkan aksi lakonan, muat naik dalam media sosial dan tunggu video tersebut meraih perhatian mana-mana produksi.

Memang mudah tetapi untuk bertahan dalam industri seni yang penuh pancaroba bukan sesuatu yang senang.

Ada yang gagal di tengah jalan dan mula mencari pelan sandaran demi masa depan yang terjamin.

Namun, bagi pelakon baharu Ellyza Azizi, minatnya terhadap lakonan membuatkannya nekad mencari rezeki walaupun namanya masih samar dalam liga hiburan.

Sedar nama masih belum dikenali umum, Ellyza bagaimanapun memandang positif dan menganggap perjalanan kerjayanya sangat cantik apabila membuka diri kepada watak-watak pelajar sekolah.

“Latar belakang saya adalah teater. Saya berlakon pentas sejak sekolah menengah dan sekarang saya dah 26 tahun.

“Betul ramai lagi yang tak kenal saya. Saya faham dan setuju sahaja tapi saya rasa cara saya susun kerjaya saya sampai sekarang membuatkan saya masih boleh membawakan watak pelajar.

“Rasanya, saya di jalan yang betul. Saya masih boleh bawa watak pelajar sekolah menengah atau kolej. Bila dah bawakan watak sebagai isteri akan nampak perbezaannya.

“Kalau pegang watak isteri dan nak ubah ke watak pelajar itu yang susah. Orang dah tak boleh nampak sebagai remaja,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sekiranya sanggup mencipta kontroversi demi melonjakkan namanya dengan cepat, pemilik nama lengkap Nur Ellyza Aziera Azizi itu menolak perkara tersebut kerana keutamaan adalah menjaga maruah keluarganya.

“Selagi kontroversi tak memburukkan nama saya lagi-lagi bila saya letak nama Ellyza Azizi nama ayah saya berada di situ.

“Saya harap apa-apa kontroversi yang akan datang pun tak akan memberi kesan kepada nama keluarga saya.

“Ada sebab kenapa saya letak nama bapa saya di situ,” katanya lagi.

Istilah putus asa

Seperti pelakon baharu yang lain, pelakon drama The Secret itu tidak menafikan wujud rasa putus asa sepanjang bergelar anak seni.

Bagaimanapun, dia memilih untuk terus melangkah dan merancang strategi terbaik demi mengasah bakatnya.

“Putus asa itu setiap tahun ada saja saya cakap, ‘tak nak berlakon, nak ambil ijazah sarjana dan mengajar’.

“Tapi pada akhirnya saya tak nak selesaikan selagi saya boleh cuba. Jadi saya memilih menjadi diri saya dan merancang strategi supaya orang boleh nampak bakat yang saya ada,” jelasnya yang memegang watak utama dalam drama vertikal BRU: Masin & Manis.

Bercerita mengenai tanggungjawab watak utama, Ellyza mengakui masih gugup untuk menjadi heroin memandangkan tidak begitu terkenal seperti rakan seperjuangan yang lain.

“Secara jujurnya, saya masih lagi rasa takut, seram dan tak layak (terima watak utama) sebabkan jumlah pengikut yang saya ada.

“Tapi saya percaya yang itu semua perasaan yang saya kena hadapi dari segi kurang keyakinan diri dan kepercayaan terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam drama terbabit, Ellyza meluahkan rasa senang dapat bekerjasama dengan gandingannya, Imranul Effendy, walaupun itu merupakan pertemuan pertama mereka.

“Gandingan bersama Imranul (Mohsin) membantu saya mencipta watak ini. Mulanya rasa susah, namun kami boleh serasi pada hari pertama bertemu di lokasi penggambaran.

“Memang sangat berbeza dengan Mohsin. Dia dari kampung, lagi outgoing, tak ada anxiety.

“Tapi kenapa kami boleh click, mereka berdua adalah dua insan yang kesunyian yang mahukan peneman,” tutupnya.

Drama 45 episod berdurasi dua hingga tiga minit tersebut mula ditayangkan pada 22 Julai menerusi aplikasi Tonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN