PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan intervensi bagi menggalakkan syarikat pembungkus minyak masak mendapatkan bekalan daripada kilang penapis milikan tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu antara penambahbaikan yang dilaksanakan kementerian susulan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya kemungkinan agihan semula kuota penapisan minyak masak dikaji.
Menurut beliau, syor berkenaan turut mencadangkan keutamaan diberikan kepada syarikat milikan tempatan yang berdaya saing bagi mengurangkan dominasi syarikat milikan asing.
“Sejak pelaksanaan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS), kuota kilang penapisan tidak ditetapkan oleh kerajaan.
“Penentuan bekalan dan kilang penapis adalah atas ketetapan syarikat pembungkus dengan mengambil kira faktor seperti kos logistik, terma kredit, harga, kemampanan kapasiti bekalan serta lokasi kilang penapis dan premis syarikat pembungkus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Armizan berkata, KPDN turut menyambut baik syor PAC berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak di bawah kementerian itu.
Jelasnya, syor berkenaan dibentangkan menerusi Penyata PAC DR. 27 Tahun 2026 di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.
Beliau berkata, KPDN turut melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengurangkan ketirisan subsidi minyak masak, termasuk memperkukuhkan eCOSS.
“Sistem berkenaan membolehkan pengurusan kuota bulanan, transaksi jualan bekalan dan tuntutan subsidi direkodkan secara digital di sepanjang rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan sehingga ke peringkat peruncit.
“Penggunaan sistem ini akan diperkukuhkan dengan pengenalan versi baharu kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kelak yang memberikan pilihan kepada pengguna untuk membuat pembelian menggunakan imbasan kod QR sebagai pengesahan identiti.
“Ini akan membolehkan penjualan secara bersasar sekali gus menghalang sepenuhnya pembelian oleh warga asing,”katanya.
Pada masa sama, Armizan berkata, KPDN komited meneruskan penambahbaikan COSS dengan mengambil kira laporan naziran dalaman, laporan audit Jabatan Audit Negara pada Julai 2025 serta penyata PAC.
Katanya, penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap syarikat kilang penapis, pembungkus, pemborong, peruncit dan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
“Ini penting bagi memastikan bantuan subsidi yang melibatkan jumlah peruntukan besar benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat secara bersasar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














