JELEBU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke tiba di pusat penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini pagi ini diiringi barisan kepimpinan parti DAP dan Amanah.
Ketibaan Anthony kira-kira pukul 8.45 pagi itu lengkap berpakaian baju kemeja berwarna putih turut disambut Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu. Turut bersama kira-kira 200 penyokong PH.
Menteri Pengangkutan itu dijangka akan dicabar calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon bagi merebut kerusi DUN Chennah.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pertang yang juga calon BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang lengkap berpakaian baju Melayu bewarna biru diiringi Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Rozi Mahat dan Datuk Seri Dr Alwi Che Ahmad tiba kira-kira lima minit kemudian.
Jalaluddin bakal dicabar Mohd Umry Abdul Khois (PH-PKR) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Bersatu), manakala bagi kerusi N3 Sungai Lui dan N4 Klawang masing-masing menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Penyandang Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-UMNO) yang tiba bersama Jalaluddin akan dicabar Zainal Fikri Abd Kadir dari (PH-PKR) dan Mazrulhishan Abd Mansor (Bersatu).
Sementara, penyandang Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah) akan dicabar Danni Rais (PN-Wawasan) dan Muhammad Adib Musa (Bersatu). – KOSMO! ONLINE














