KULIM – Kejadian kepala air yang melanda Sungai Sedim di sini petang tadi berlaku ketika orang ramai sedang leka berkelah dan mandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan.
Penduduk Kampung Sedim, Abd. Padhil Ghani, 64, berkata, lokasi itu sememangnya menjadi tumpuan pengunjung terutama pada setiap hujung minggu.
“Kawasan ini biasanya dipenuhi orang ramai yang datang berkelah dan mandi-manda. Cuaca ketika kejadian juga cerah, namun difahamkan hujan lebat berlaku di bahagian hulu iaitu sekitar puncak Gunung Bintang pada sebelah pagi dan tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian kepala air itu kerana mangsa dipercayai tidak menyedari fenomena berkenaan sedang berlaku.
“Difahamkan, ada mangsa yang mandi di bahagian atas sungai dan tidak sempat menyelamatkan diri apabila kepala air melanda. Jika berada di bahagian bawah, mungkin masih sempat naik ke tebing,” ujarnya.
Katanya, seorang rakannya turut melihat salah seorang mangsa dalam keadaan terapung dan dihanyutkan arus deras.
“Bagaimanapun, dia tidak dapat membantu menyelamatkan mangsa kerana arus terlalu deras,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kegembiraan sekumpulan pengunjung yang mandi-manda di Sungai Sedim, Karangan dekat sini bertukar tragedi apabila tiga individu lemas selepas dihanyutkan kepala air petang ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nur Atikah Abdullah, 28; Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12; dan Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3. – KOSMO! ONLINE














